Puisi Kepada Suami


Puisi Kepada Suami

Tatkala cakerawala cinta membakar sukma
cahaya memancar jalur kasih
yang menerangi ruang sukma
-ada rasa yang sukar dilafaz
-ada ceria yang payah dilukis


Tatkala cakerawala usia kita melewati musim
jalinan benang cinta kian akrab
menyatu simpulan indah
yang berpadu satu.

PENAWAR MELENYAP HASAD DENGKI

Asalamualaikumwarahmatulahiwabarakatuh:

Sesungguhnya hasad dengki adalah penyakit kronik di dalam hati. Hati yang diserang angin hasad dan dengki ini, tiada ubat yang boleh disembuhkan kecuali dengan ilmu pengetahuan dan amalan .
Apakah yang saya maksudkan dengan Ilmu pengetahuan itu? Pengetahuan yang dimaksud ini adalah ilmu diri, yakni mengetahui dengan penuh yakin , bahawasanya anda ketauhui akan hasad dengki anda itu tidak akan membahayakan orang yang didengki,malah ia akan mendapat faedah darinya. Jika anda telah maklum dengan mata hati anda (bashirah)dan anda tidak mahu menjadi seteru kepada diri anda sendiri, so anda perlu menjauhkan diri dari hasad dengki,ataupun berpisah terus dari hasad dengki .Jangan ada hasa dengki menerjah jiwa! Padamkan & lenyapkanlah!!
Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w ini: Tiada hasad(yakni dibenarkan berhasad)melainkan dalam dua perkara sahaja, seorang yang dikurniai Allah s.w.t harta yang banyak,lalu ia menaburkan hartanya sehingga habis. Dan seorang lagi dikurnai Allah s.w.t ilmu pula, lalu ia mengamalkan ilmu itu, serta mengajarkannya juga kepada orang ramai."
Kepada Allah s.w.t kita berbakti dan kepadaNYA pula kita mohon taufik dan hidayah.Mudah-mudahan Allah sw.t akan memelihara kita sekalian dari penyakit hasad dengki itu dengan kurniaNYA dan murah hatiNYA. Amin Yarobbala'lamin.
Jazakallah

KEBENARAN


Ketika mentari tropika bersilau terang
nyanyian merpati bersipongang
sang gagak cuba melagu parau
sayu tapi sumbang

Telah berbunyi biduk di kuala
calar penyatuan masih kusam
merpati masih merebut gelar
sang gagak masih meniti martabat
lalu cakar mencakar
duka dan luka
perih dan pedih
ngeri dan ngilu.

Kadangkala perebutan martabat
telah mencoreng penyatuan
membersit perselisihan
dari ketakutan
hilang gelaran.

Di sini memerlu pembelaan
dari tangan kiri
atau tangan kanan
yang mengenggam keikhlasan
pada penghayatan kebenaran.

Puisi karya Sabariah Bahari ini
termuat di Antologi API KL BELUM TERPADAM
terbitan Utusan Publication.

CINTA WAJA WARGA MERDEKA


Dengan zikir kasih kami bukakan singgahsana
menjulang jalur gemilang bersama sejarah
yang tertarik ceritera luka bersama air mata
dari simbahan maruah moyang berzaman
-inilah bisikan cinta kami
istana kasih yang kukuh
merangkul mesra di persada visi
menganyam janji pada diri.




Meski telah kami punahkan sejarah berdarah
dalam zikir kasih menyusur perjuangan
namun segala yang pernah musnah
membangkit urat nadi pembela pertiwi
menjunjung martabat bangsa bermaruah
kerana kamilah warisan turun temurun
memadu sumpah buat dititipkan
pada seluruh cakerawala setia
-akan kami laungkan keamanan
akan kami nyanyikan semangat merdeka

Di maya ini,kami tafsir segala peradaban
menyirami kuntum perkasihan di laman
telah kami baja keakraban pengalaman
justeru ngeri luka silam masih mengimbau
menggamit sejuta pesona waspada
-akan kami tangkis durjana menepis
mengikis tapak sengsara di mata
di sini, kamilah anak merdeka
melangkah maju tidak gementar
membentuk wawasan tidak gegar

Demi cinta bersemi ketamadunan hakiki
melaut kasih pada keharmonian
kamilah pejuang pembangunan abadi
akan kami cincang cabaran merentang
akan kami tentang jejak melentang
kamilah pewaris menunjang pedang kerukunan
dengan benteng sejuta pagar keamanan
akan kami wangikan seluruh maya
menabur bunga bijaksana bangsa
atas gemala cita menyatu sejarah
tidak akan rebah dimamah sejarah
tidak akan goyah dipatah dugaan
kami abadikan seluruh degup ja ntu ng
membina cinta waja dalam sumpah
-kami anak merdeka
ada misi membentuk kemenangan
ada visi membentuk kemahuan.

Puisi karya Sabariah Bahari ini
termuat di Antologi
Aksara Merdeka (GAPENA)

RATIB INI MELAYU(SABARIAH BAHARI)


Ketika cakerawala tropika memutar
pada intaian Sejarah Melayu
tertarik catatan terbilang
yang lahir dari jerih perih
dan tangis seabad

mencakar bangkit resah
mencalar duduk gelisah
melakar diri pasrah

Barangkali kitalah Sang melayu
heretan dari watak Kitul
membenam perjuangan bangsa
dalam hentakan nafsu
yang menuntut pelaksanaan harapan

menyentak patah kawan
memulas luka taulan
memeras keringat rakan

Kitalah pejuang watak Raja Mendeliar
yang lali memburu kesangsian
dari kelekaan mengundang kesilapan

Kita bangkit memadam
watak Raja Mendeliar
dalam arca silam

cuba kita bakar perjuangan
cuba kita roboh tembok Kitul
memasang frem Melayu baru
dalam wawasan perdana

Esok kita bakal memburu jejak kemajuan
dan bangkit sebuah perkasihan
dari penyatuan harapan
-watak Kitul telah terpadam
-watak Mendeliar telah terbenam
(
Kita boleh meneroka jalan
membentuk bangsa Melayu
pada percaturan
bersih,amanah danbersatu

Mari Kita nyanyikan perabung kehidupan
merakam penyatuan bangsa
muzik kita akan bergema
lantang dan padu.

Wacana Hitam Putih 1998
Utusan Publication & Distributor
-Bacalah Dalam Bahasamu
Dewan Bahasa dan Pustaka 2000(Teks Moden Kesusasteraan Melayu KBSM)
& Kementerian Pendidikan Malaysia
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 sabariahbahari |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.